Sabtu, 15 Jun 2019

Nasi dagang, teh ais Ombak Rindu di Warung Kak Ros



MENIKMATI sarapan pagi di persekitaran yang mendamaikan


BERITA HARIAN;KUALA TERENGGANU - BAGI mereka yang datang dari luar Kuala Terengganu, pelawaan 'jom kita bersarapan di warung Kak Ros Nasi Dagang' boleh membuatkan anda terpinga-pinga.Mungkin tidak pernah mendengar nama itu disebut sekalipun oleh penduduk tempatan di Kuala Terengganu sendiri.

Namun, sebaik disebut warung Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur Kuala Terengganu, barulah mereka terbayang ketika bersarapan, menikmati nasi dagang bersama gulai ikan tongkol yang pedas lagi 'power' itu!

Kelazatannya berganda sebaik menikmati minuman popular di warung berkenaan iaitu teh tarik ais buih meleleh seperti ombak, lalu menu itu dikenali teh tarik ais Ombak Rindu!
Memang hebat 'penangan' Kak Ros Nasi Dagang atau Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur sehingga viral di beberapa laman sosial baru-baru ini, sekali gus mengundang kehadiran pelanggan yang terdiri daripada penduduk tempatan mahupun pengunjung dari luar Terengganu, datang ke warung ini.

Biarpun keadaan warungnya di tepi jalan itu kelihatan agak uzur, kelazatan hidangannya memang cukup tersendiri.

Sekalipun berpeluh kerana pedas, penulis tidak teragak-agak melabel Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur adalah hidangan atau makanan tradisional paling sedap di Terengganu setakat ini!

DRAWBRIDGE GAMIT PELANCONG


Pemandangan udara menggunakan teknik 360 darjah di sekitar Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang menjadi mercu tanda terbaharu Terengganu yang menyambungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus ketika tinjauan baru-baru ini. Foto: Bernama



SINAR HARIAN;KUALA TERENGGANU - Jambatan angkat atau ‘drawbridge’, ikon baharu Terengganu, akan mengubah trend kedatangan pelancong ke negeri itu yang selama ini lebih tertumpu di kawasan pulau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata pihaknya optimis kawasan daratan sekitar akan menjadi lokasi wajib disinggahi pelancong yang ingin menyaksikan keindahan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu.
“Kita juga menyasarkan akan ramai pengunjung tempatan seperti dari Kelantan dan Pahang datang ke Kuala Terengganu untuk melihat drawbridge. Malah sekarang jambatan ini belum dibuka pun sudah ramai pengunjung dari Kelantan datang ke sini semata-mata untuk melihat drawbridge walaupun dari jauh,” katanya dalam temu bual eksklusif di sini.

Bagi menarik pelancong luar negara ke kawasan daratan, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha pulau seperti Pulau Redang untuk menyediakan pelbagai pakej membawa pelancong ke kawasan daratan.