MENIKMATI sarapan pagi di persekitaran yang mendamaikan
BERITA HARIAN;KUALA TERENGGANU - BAGI mereka yang datang
dari luar Kuala Terengganu, pelawaan 'jom kita bersarapan di warung Kak Ros
Nasi Dagang' boleh membuatkan anda terpinga-pinga.Mungkin tidak pernah
mendengar nama itu disebut sekalipun oleh penduduk tempatan di Kuala Terengganu
sendiri.
Namun, sebaik disebut warung Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur
Kuala Terengganu, barulah mereka terbayang ketika bersarapan, menikmati nasi
dagang bersama gulai ikan tongkol yang pedas lagi 'power' itu!
Kelazatannya berganda sebaik menikmati minuman popular di
warung berkenaan iaitu teh tarik ais buih meleleh seperti ombak, lalu menu itu
dikenali teh tarik ais Ombak Rindu!
Memang hebat 'penangan' Kak Ros Nasi Dagang atau Nasi Dagang
Atas Tol Tepi Kubur sehingga viral di beberapa laman sosial baru-baru ini,
sekali gus mengundang kehadiran pelanggan yang terdiri daripada penduduk
tempatan mahupun pengunjung dari luar Terengganu, datang ke warung ini.
Biarpun keadaan warungnya di tepi jalan itu kelihatan agak
uzur, kelazatan hidangannya memang cukup tersendiri.
Sekalipun berpeluh kerana pedas, penulis tidak teragak-agak
melabel Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur adalah hidangan atau makanan
tradisional paling sedap di Terengganu setakat ini!
Guna campuran rempah istimewa
KAK Ros (tengah) bersama petugas menyediakan nasi dagang
Berdasarkan pemerhatian, ikan tongkol atau ikan aya (dalam
bahasa Terengganu) yang digunakan adalah jenis ikan aya hitam dan paling sedap
dibuat gulai untuk dinikmati bersama nasi dagang. Ikan aya putih pula sedap
apabila dimasak singgang.
Pengusaha atau pemilik warung, Rohana Yusof, 45, atau lebih
dikenali sebagai Kak Ros berkata, pelanggan akan mula beratur di depan gerainya
seawal jam 6.30 pagi dan berbaris panjang sejam terutama pada Jumaat dan Sabtu.
Lazimnya semua hidangan yang disediakan hari itu habis terjual sebelum jam 11
pagi.
"Saya menggunakan beras panjang apabila menyediakan
nasi dagang untuk mendapatkan rasa lebih enak. Santan perlu banyak dan campuran
beberapa jenis herba untuk menaikkan aroma nasi berkenaan.
"Begitu juga dengan gulai ikan tongkol, saya
menggunakan campuran rempah istimewa untuk memperoleh rasa lebih lazat.Sepinggan
nasi dagang bersama ikan tongkol berharga RM3. Bagi semangkuk gulai yang berisi
kepala ikan tongkol, ia diberikan percuma. Cuma telur rebus saja dikenakan
bayaran RM1 sebiji.
Warung Kak Ros turut menyediakan teh ais Ombak Rindu dan
bandung Ombak Rindu gelas besar yang menjadi daya tarikan kepada pengunjung."Buih
yang banyak meleleh hingga ke piring sering menjadi perhatian hingga ramai
pelanggan turun ke dapur untuk melihat proses penyediaannya. Harga bagi gelas
besar ialah RM5," katanya.
PENGUNJUNG beratur di depan gerai seawal jam 6.30 pagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan