Pemandangan udara menggunakan teknik 360 darjah di sekitar Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang menjadi mercu tanda terbaharu Terengganu yang menyambungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus ketika tinjauan baru-baru ini. Foto: Bernama
SINAR HARIAN;KUALA TERENGGANU - Jambatan angkat atau
‘drawbridge’, ikon baharu Terengganu, akan mengubah trend kedatangan pelancong
ke negeri itu yang selama ini lebih tertumpu di kawasan pulau.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan
Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata pihaknya optimis kawasan
daratan sekitar akan menjadi lokasi wajib disinggahi pelancong yang ingin
menyaksikan keindahan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu.
“Kita juga menyasarkan akan ramai pengunjung tempatan
seperti dari Kelantan dan Pahang datang ke Kuala Terengganu untuk melihat
drawbridge. Malah sekarang jambatan ini belum dibuka pun sudah ramai pengunjung
dari Kelantan datang ke sini semata-mata untuk melihat drawbridge walaupun dari
jauh,” katanya dalam temu bual eksklusif di sini.
Bagi menarik pelancong luar negara ke kawasan daratan,
pihaknya telah berbincang dengan pengusaha pulau seperti Pulau Redang untuk
menyediakan pelbagai pakej membawa pelancong ke kawasan daratan.
“Kalau pelancong luar (luar negara) kita memang promosi
pulau sebab mereka sudah mengetahui Terengganu memang mempunyai banyak pulau
yang cantik tetapi pada masa yang sama kita berbincang dengan pengusaha pulau
ini untuk mempromosi produk pelancongan di darat.
“Saya yakin mereka (pengusaha pulau) akan sediakan pakej
membawa pelancong luar negara pergi ke tanah besar melihat drawbridge,”
katanya.
Selain itu, katanya, antara yang sedang giat diusahakan
kerajaan negeri adalah memantapkan perkhidmatan pelayaran menyusuri sungai di
Sungai Terengganu bagi membolehkan pelancong menghayati keindahan jambatan
angkat sambil menyusuri sungai itu.
“Kita sudah maklumkan kepada pengusaha-pengusaha river
cruise (pelayaran menyusuri sungai) bahawa dengan adanya drawbridge ini ia akan
menjadi pemangkin utama untuk perkhidmatan pengangkutan air mereka. Sekarang
ini pun perkhidmatan river cruise di sini semakin mendapat sambutan.
“Sebagai buktinya TTI River Cruise menerima peningkatan
jumlah penumpang pada tahun lepas berbanding dua tahun lepas. Sama juga dengan
Payang Water Taxi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha
meningkatkan pencahayaan di kawasan pesisir pantai dan sungai Kuala Terengganu
seperti Taman Tamadun Islam, Jambatan Sultan Mahmud dan kawasan sekitar Pulau
Duyung.
Ia bagi membolehkan penumpang river cruise turut menikmati
keindahan sekitar pantai dan sungai pada waktu malam.
Jambatan angkat sepanjang 638 meter yang mempunyai dua
menara setinggi 16 tingkat itu akan dibuka untuk percubaan pada 7 pagi Ahad ini
sehingga 17 Jun.
Jambatan bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan
keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga
ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau
Sekati. - Bernama
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan